PM mahu lebih kelonggaran SOP kepada penerima vaksin lengkap

0
122
Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Kerajaan mahu supaya kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada individu yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin dinilai semula olah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penilaian semula itu adalah sebagai tanda kehidupan rakyat kini bertambah baik dan beransur kembali normal dalam kegigihan kerajaan membendung Covi-19.

Beliau berkata, kelonggaran itu termasuk dari segi pergerakan rakyat dan beberapa aktiviti sosial lain.

“Saya telah minta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula bagi mereka yang sudah dapat vaksin dua suntikan supaya mereka diberikan kelonggaran sama ada dari segi perjalanan atau pun pergi ke kedai ataupun makan di restoran.

“Ini petanda bahawa kita nak menunjukkan sementara kita mengurus Covid-19, kehidupan rakyat mungkin sedikit demi sedikit akan kembali seperti masa-masa lepas.

“Ini inisiatif ke depan dan dalam tempoh jangka masa ikut Pelan Pemulihan Negara (PPN), itu hanya sehingga akhir tahun,” katanya memetik laporan Astro Awani hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian selepas membuat tinjauan ke pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Kompleks Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di sini.

Muhyiddin berkata, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang dilaksanakan ketika ini diharap akan memberi harapan kepada negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19.

Jelas beliau, kerajaan juga sedang mempergiat usaha mengatasi jangkitan Covid-19 di kawasan Greater Klang Valley.

“Kita lihat kes-kes masih tinggi tetapi saya percaya dengan langkah tumpuan khusus untuk kawasan ini.

“Tetapi agak baik proses vaksinasi bagi saya mengikut jadual dan kita harap dalam tempoh beberapa hari ini dan bulan depan, pembekalan vaksin akan meningkat seperti dalam jadual yang kita telah unjurkan dalam PPN, iaitu sebelum akhir tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata semua pihak perlu meletakkan keyakinan terhadap pelbagai usaha yang digerakkan oleh kerajaan.

“Jadi bersabarlah, jangan kata kerajaan tak bagi tumpuan. Jangan sesekali percaya dengan kempen ‘kerajaan gagal’, tetapi yakin.

“Dengan kerjasama kita, pimpinan dalam kerajaan, swasta, rakyat jelata dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita boleh menang dalam hadapi peperangan ini,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here