Polis buka 2 kertas siasatan terhadap Ronnie Liu

0
1572
Ronnie Liu (kanan) disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) 2021.

RAUB – Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew disiasat polis susulan kekecohan yang berlaku di Kompleks Mahkamah Raub hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Mohd. Yusri Othman berkata, dua kertas siasatan dibuka terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) 2021.

“Daripada kebenaran rentas negeri memang dia ahli politik, apapun kita buka juga siasatan di bawah Peraturan 17 PPPPPB kerana walaupun dia boleh rentas negeri tetapi bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jadi kita buka juga siasatan dan siasatan sedang giat dilakukan,”katanya memetik laporan Kosmo! hari ini.

Hari ini proses permohonan reman 18 pekebun durian Musang King di Kompleks Mahkamah Raub kecoh selepas berlaku pertengkaran antara pihak berkuasa dan beberapa pemimpin politik.

Pertengkaran mula hangat selepas seorang anggota polis meminta orang ramai termasuk pemimpin politik keluar daripada kawasan mahkamah selepas individu yang direman dibawa keluar.

Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack serta Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji dilihat tidak berpuas hati sehingga berlaku sedikit provokasi terhadap anggota polis yang memberikan arahan supaya keluar dari kawasan itu.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun durian Musang King direman dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Kesemua mereka ditahan semalam selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi memusnahkan pokok durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here