
KUALA LUMPUR – Polis sedang mengenal pasti penganjur dan peserta yang menyertai perhimpunan bantahan di Dataran Merdeka hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, perhimpunan itu disertai kira-kira 400 peserta.
Mohamad Zainal berkata, rata-rata peserta ialah golongan muda, mereka berkumpul di sekitar ibu negara dan berarak ke Dataran Merdeka.
“Perhimpunan itu sudah bersurai dengan aman mengikut arahan polis bagi mengelak insiden tidak diingini dan tiada tangkapan ke atas peserta dilakukan setakat ini.
“Dalam tempoh fasa perintah kawalan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak dibenarkan himpunan di mana-mana walaupun untuk tujuan sosial, sukan atau keagamaan mengikut Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
“Walaupun perhimpunan aman, ia jelas melanggar peraturan terbabit dan sebab itu kita akan ambil tindakan susulan. Kalau hantar notis untuk berhimpun pun tiada guna sebab ia memang tidak dibenarkan, kita juga siasat himpunan ini mengikut Akta 342.
“Semua peserta memakai pelitup muka hasil pemantauan kira-kira 300 anggota polis di kawasan himpunan. Dari segi penjarakan fizikal, agak sukar untuk mereka amalkannya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Pad hari ini, sekumpulan individu memakai baju hitam dilihat berkumpul berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek pagi tadi tadi dipercayai bagi menyertai perhimpunan terbabit.
Mereka juga membawa bendera hitam, sepanduk menzahirkan protes dan replika jenazah.
Polis membuat kawalan keselamatan di sekitar kawasan berkenaan, selain menutup beberapa laluan menuju ke Dataran Merdeka, sejak pagi tadi.