Polis kesan pelanggan farmasi bergelang pink

0
114
Gambar tiga orang bergelang pink yang ditularkan oleh pengguna media sosial pada minggu lalu.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan tiga individu termasuk seorang wanita memakai gelang warna merah jambu dipercayai melanggar arahan kuarantin wajib apabila pergi sebuah farmasi di Puchong Perdana, pada Khamis lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman, siasatan awal terhadap penyelia farmasi berkenaan mendapati kejadian berlaku pada 11.20 pagi apabila salah seorang daripada mereka memasuki premis berkenaan.

“Seorang lelaki telah masuk ke dalam farmasi tanpa imbasan aplikasi MySejahtera dan memakai gelang merah jambu untuk membeli ubat, manakala seorang lagi lelaki dan wanita menunggu di luar premis.

“Lelaki yang berada di dalam farmasi tersebut beredar keluar tanpa membuat sebarang pembelian setelah dimarahi dan diarahkan keluar oleh pekerja farmasi.

“Susulan itu, empat pekerja farmasi yang bertugas pada hari tersebut telah diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing sebelum diarahkan membuat ujian calitan awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Khalid berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga individu tersebut telah melanggar arahan kuarantin yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan usaha mengesan mereka diteruskan sehingga kini.

“Polis turut mengeluarkan kompaun terhadap premis berkenaan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 kerana gagal memastikan pelanggan risiko rendah dibenarkan masuk dalam premis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

“Orang ramai yang diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah atau yang memakai gelang merah jambu dinasihatkan supaya tidak keluar dari kediaman untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” tegas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here