
SEBERANG PERAI – Polis Pulau Pinang memohon maaf di atas kegagalan mengesan lebih awal kehadiran ratusan warga asing yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan bertindak mendirikan solat sunat Aidiladha di perkarangan luar sebuah surau di Taman Pelangi, Juru hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kejadian itu kira-kira 200 warga asing didapati melanggar SOP solat melebihi kapasiti dibenarkan.
“Dalam konteks hari ni, saya selaku Ketua Polis Pulau Pinang memohon maaf atas kegagalan kami mengesan dengan lebih awal.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan dengan meminta kepada pengerusi surau dan masjid, sekiranya ada lagi yang enggan mematuhi SOP terutamanya dalam tempoh tiga hari ini iaitu hari tasyrik, sila hubungi polis,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu tular satu video berdurasi 22 saat yang dirakam oleh seorang individu yang menunjukkan ratusan warga asing menunaikan solat sunat Aidiladha melebihi had ditetapkan.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya surau tersebut memang diberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidiladha.
Bagaimanapun katanya, untuk SOP solat sunat Aidiladha hanya membenarkan 100 jemaah beribadat.
“Pihak surau sudah meminta dihadkan kepada100 org dan meminta mereka pulang dan menutup pagar. Namun begitu pihak surau tetap akur dengan sensitiviti solat sunat Aidiladha dan tidak sampai menyuraikan solat sunat ini.
“Oleh itu jemaah yang tak dapat masuk ambil tindakan solat di jalan raya dengan mematuhi SOP penjarakan sosial tetapi ketika itu pihak masjid tidak menghubungi kami untuk mengawal keadaan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, pihak polis sedang mengenal pasti kesemua warga asing yang terlibat dalam rakaman itu untuk diambil tindakan lanjut mengikut undang-undang.-MT