Polis nafi kompaun 2 individu main badminton depan rumah

0
97
Mesej yang tular di media sosial dua orang individu dikunjungi polis kerana bermain badminton di hadapan rumah

CYBERJAYA – Polis menafikan dakwaan kononnya dua lelaki dikenakan kompaun kerana bermain badminton di hadapan rumah di Jalan USJ 2/6A, Subang Jaya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, Pasukan Pemantauan dan Pematuhan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hadir ke rumah itu selepas menerima aduan orang awam pada pukul 7 malam.

Katanya, pihaknya menasihatkan lelaki terbabit mengenai kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Ketika pasukan polis tiba, dua lelaki itu dilihat sedang bermain badminton di hadapan rumah mereka dan kemudian diberi penerangan mengenai SOP PKPD iaitu sebarang aktiviti senaman tidak dibenarkan.

“Mereka mengakui faham dengan penerangan diberikan dan dinasihat supaya tidak mengulanginya lagi. Tiada kompaun dikeluarkan seperti ditularkan di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Abd Khalid, tindakan polis berdasarkan maklumat penduduk setempat yang peka dengan isu pematuhan SOP ketika PKPD.

Terdahulu tular mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang menunjukkan polis berada di hadapan sebuah rumah teres di kawasan tersebut.

Mesej tersebut mendakwa individu berkenaan dikenakan kompaun kerana bermain badminton dan tidak memakai pelitup muka.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here