
CYBERJAYA – Pulau Pinang menjadi negeri terbaharu yang akan beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peralihan fasa itu berikutan pencapaian dalam nilai ambang tiga indikator utama.
“Tiga indikator utama itu melibatkan purata kes jangkitan harian selama tujuh hari di bawah nilai ambang 12.2 kes per 100 ribu iaitu 9.5 kes per 100,000 kadar penggunaan katil wad unit rawatan rapi (ICU) mencapai tahap sederhan dan penilaian Capacity to Respond yang berada pada tahap adequate.
“Kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas populasi dewasa melebihi 10 peratus iaitu pada kadar 10.1 peratus.
“Berdasarkan tiga indikator ini dan penilaian terperinci agensi-agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan peralihan fasa PPN bagi Pulau Pinang berkuat kuasa 7 Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan lima negeri iaitu Perlis, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Perak.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk di negeri-negeri yang telah berjaya beralih ke fasa kedua untuk teruskan usaha melindungi komuniti anda daripada jangkitan Covid-19 dan meningkatkan prestasi negeri masing-masing supaya dapat beralih ke fasa seterusnya.
Pada masa sama, katanya, ini juga akan membantu untuk mempercepatkan proses pemulihan sektor-sektor ekonomi dan sosial di negeri-negeri yang berkenaan.-MT