Pusat sembelihan diberi amaran patuh SOP

0
23

JOHOR BAHRU – Pusat penyembelihan yang terlibat menjalankan ibadah korban di negeri ini diberi amaran supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, kegagalan mematuhi SOP yang ditetapkan boleh menyebabkan lesen serta permit sesebuah pusat penyembelihan ditarik balik oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, selain pematuhan jumlah individu yang hadir dan terlibat, pihaknya juga mengingatkan pengusaha memastikan pengendalian kolam takungan darh dan air kumbahan dilakukan dengan betul.

“Walaupun pusat sembelihan ini disifatkan sebagai pusat sementara, namun pemilik tidak seharusnya memandang remeh SOP korban sewaktu pandemik Covid-19. Kerajaan negeri tidak mahu berlaku kluster korban di mana- mana pusat penyembelihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tosrin Jarvanthi

Tosrin dalam pada itu turut memaklumkan semua imam, bilal, noja dan ahli jawatankuasa masjid serta surau Jumaat akan diberikan vaksin dalam masa terdekat.

“Sebagai langkah perlindungan kesihatan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor semalam bersetuju menyegerakan pemberian vaksin bagi mengelakkan kemunculan kluster-kluster baharu di negeri ini.

“Semua Pejabat Kadi Daerah telah diarahkan menghantar senarai nama pengurusan masjid dan surau ke Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.

Semalam, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan sebanyak 83 peratus rakyat negeri itu telah mendaftar untuk suntikan vaksin Covid-19.

Tunku Ismail juga mahu proses logistik pengedaran vaksin ke Pusat Pemberian Vaksin negeri dipercepatkan dan bilangan PPV ditambah untuk menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Sukacita ingin saya maklumkan bahawa 83 peratus Bangsa Johor telah berjaya mendaftar untuk menerima vaksin dan bagi mereka yang belum, saya ingin menyeru kepada anda untuk mendaftar secepat mungkin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here