
UMUM mengetahui, Jumaat merupakan penghulu segala hari, yang mengandungi segala macam fadilat dan barakah.
Bagaimanapun, jika diteliti, tidak ada dalil khusus yang menyebut tentang kelebihan sedekah pada hari Jumaat.
Meskipun tiada dalil khusus, sebahagian para ulama ada menukilkan tentang keutamaan sedekah pada hari mulia berkenaan.
Umpamanya, Ibn Qayyim Al-Jawziyah dalam kitabnya, Zad Al-Maad menyatakan:
“Bersedekah pada hari Jumaat ini lebih mulia berbanding hari-hari lain. Besarnya nilai gandaan ganjaran bersedekah pada hari Jumaat berbanding hari lain adalah seperti besarnya pahala amalan bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain.”

Selain itu, bersedekah pada hari Jumaat juga merupakan antara amalan yang dipraktikkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah:
‘Apabila keluar dari rumah untuk mendirikan solat Jumaat, beliau akan membawa roti atau makanan lain yang ada di rumahnya dan menyedekahkannya secara sembunyi di sepanjang jalan yang dilaluinya.’
Situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membuatkan ramai terkesan, boleh kita gunakan sebagai peluang untuk menggandakan rezeki dan pahala.
Allah sendiri telah berjanji sadaqah tidak akan mengurangkan harta, tetapi akan digandakan sebagaimana firman-Nya:
“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan ALLAH ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), ALLAH melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-NYA, dan ALLAH MAHA LUAS (rahmat) kurnia-NYA, lagi meliputi ilmu pengetahuan-NYa.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Jadi, pada yang mahu berinfaq, bersadawah, jom ke SADAQAH MARKET yang mana hasil kutipan ini digunakan bagi membantu individu dan keluarga yang terkesan dengan PKP ini.
Jom kita berlumba buat pahala!