CYBERJAYA – Rakyat Selangor berpeluang menikmati penjimatan rebat antara RM10 hingga RM30 sebulan bagi caj penggunaan Internet melalui permohonan Skim Internet Selangor khusus bagi golongan M40 (SISM40).
Inisiatif kerajaan negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang ditawarkan kepada pengguna perkhidmatan Internet Unifi itu boleh dipohon bermula hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri memperuntukkan subsidi internet khusus kepada rakyat Selangor kategori M40 melalui kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bersepadu Telekom Malaysia (TM), Unifi.
“Sebelum ini banyak inisiatif kerajaan negeri tertumpu kepada membantu golongan B40, namun kita juga sedar bahawa golongan M40 turut terkesan.
“Oleh itu kerajaan negeri telah bekerjasama dengan TM, bagi memperkenalkan SISM40 sebagai usaha membantu rakyat Selangor, khususnya dalam menghadapi norma baharu dalam era digital,” katanya dalam satu kenyataan.

Amirudin dalam kenyataan itu mengucapkan terima kasih kepada TM atas kerjasama tersebut dan menyeru lebih banyak pihak swasta untuk tampil menyalurkan bantuan kepada rakyat, di saat-saat sukar sebegini.
Melalui SISM40 katanya, setiap isi rumah berpeluang menikmati subsidi di antara RM10 hingga RM30 sebulan bagi tempoh setahun, dengan melanggan satu daripada lapan pakej yang ditawarkan di bawah Pakej Keluarga, Pakej Bujang dan Pakej Asas.
Untuk maklumat berkenaan syarat kelayakan dan proses pendaftaran, orang ramai boleh melayari https://www.sism40.com.my/ atau menghubungi talian bantuan 03-5030 4595/4596 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang) kecuali pada cuti umum.