
CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mendedahkan ramai pesakit kritikal yang masih berada di Jabatan Kecemasan & Trauma hospital-hospital di Lembah Klang belum dapat ditempatkan di wad.
Dr, Noor Hisham berkata, pesakit kritikan itu masih belum ditempatkan di wad berikutan kesesakan dan kekurangan katil di wad mahupun Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital di Lembang Klang ketika ini.
“Begitu juga dengan sejumlah besar pesakit Covid-19 kategori 3 dan kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen yang terpaksa dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah MAEPS, Serdang.
“Jumlah pesakit Covid-19 termasuk yang disyaki atau berkemungkinan dijangkiti virus berkenaan masih lagi tinggi dan tidak menunjukan penurunan khususnya di kawasan Lembah Klang.
“Sehingga kini seramai 1,224 pesakit Covid-19 termasuk individu yang disyaki dan berkemungkinan dijangkiti virus itu sudah dimasukan ke dalam ICU.
“Daripada jumlah yang dilaporkan itu lebih separuh atau 567 pesakit berada di Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya dalam hantaran status laman Facebook.
Menurut Dr. Noor Hisham, susulan situasi berkenaan, beberapa langkah sudah diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan bagi mengatasi masalah berkenaan.
“Antaranya ialah meningkatkan kapasiti Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi merawat pesakit Covid-19 kategori 4 dan 5.
“Selain itu, pihak HKL turut membuat penyumberluaran (outsourcing) dengan merujuk pesakit bukan Covid-19 dari hospital berkenaan ke hospital swasta yang berdekatan.
“Kita turut mempertingkatkan kapasiti merawat pesakit Covid-19 di Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) serta menjadikan Hospital Ampang sebagai hospital Covid-19 sepenuhnya seperti Hospital Sungai Buloh mulai 30 Jun lalu,” katanya.
Dr Noor Hisham memaklumkan, sehingga kini terdapat 17 hospital yang merawat pesakit COVID-19 di sekitar Lembah Klang.