Rusia lancarkan Sukhoi Checkmate

0
368

MOSCOW – Rusia semalam melancarkan pesawat taktikal ringan (LTS) pertamanya, Sukhoi Checkmate pada pameran Udara dan Persenjataan (MAKS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky, Moscow.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin yang turut merasmikan pembukaan MAKS bagi edisi tahun ini.

Pandangan bahagian dalam kokpit Checkmate.

Menurut thedrive, pasaran utama LTS dengan ciri generasi ke-5 itu adalah India, Vietnam dan benua Afrika.

Pesawat pejuang ringan dengan satu tempat duduk itu akan dikuasakan dengan enjin berkuasa tujahan antara 14.5 hingga 16 tan, dan mempunyai keupayaan untuk berlepas dari landasan pendek.

Dari segi persenjataan, pesawat itu mampu membawa peluru berpandu udara-ke-udara (AAM), sebuah mesingan 30mm, dan juga peluru berpandu lain dan bom bagi tujuan serangan ke atas sasaran darat.

Prototaip pertama Checkmate dijangka akan mula terbang pada 2023, dengan penghantaran pertama pada pelanggan dimulakan antara tahun 2026 hingga 2027.

Buat masa ini, pembangunan pesawat itu dibiayai menggunakan dana dalaman, namun Sukhoi difahamkan sedang mencari pihak luar yang berminat untuk turut membiayai projek berkenaan.

Walaupun Checkmate dikelaskan sebagai sebuah LTS yang disasarkan untuk pasaran luar, pemerhati menjangkakan Rusia mungkin turut berminat untuk membangunkan pesawat itu sebagai sebuah pesawat penyerang tanpa pemandu, selari dengan konsep ‘Loyal Wingman’ yang sedang dibangunkan di Amerika Syarikat dan Australia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here