Sarawak yakin kembalikan kegemilangan sektor pelancongan

0
21
Tarikan budaya, alam semulajadi dan keunikan masyarakat pribumi menjadi tarikan utama pelancongan Sarawak.

KUCHING – Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) melalui perancangan dan inovasi strategiknya sedia untuk mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan negeri sebaik sahaja mendapat ‘lampu hijau’ dari kerajaan melalui kebenaran orang ramai untuk merentas daerah dan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Salleh Askor berkata, pihaknya optimis bahawa industri pelancongan negeri itu akan kembali kepada rentaknya tidak lama lagi melihat kepada kejayaan program vaksinasi negara.

“Sejak penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan sektor pelancongan terutamanya, STB telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan impak kepada pemain industri pelancongan tempatan.

“Antara inisiatif dari peruntukan dana STB yang akan menyokong usaha itu adalah Kempen Sia Sitok Sarawak, Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak dan Pakej Insentif Pengunjung (Visitors Incentive Package- VIP),” katanya.

Sharzede Datu Salleh Askor

Sharzede berkata, Dana Ekosistem Pelancongan Dalam Talian Sarawak merupakan program pemangkin yang bertujuan memperluaskan jejak Digital Pelancongan Sarawak dengan memberi insentif kepada pemain industri untuk pembangunan dan penyelenggaran laman web, penyediaan isi kandungan dan pengiklanan digital.

Manakala Pakej Insentif Pengunjung pula memberi fokus untuk membangunkan semula pelancongan Sarawak selepas pandemic termasuk usaha membantu agensi pelancongan menarik kemasukan pelancong domestik dan juga antarabangsa.

“Selain itu, sebagai usaha untuk ‘menyegarkan’ semula sektor pelancongan Sarawak pada masa yang mencabar ini, kami melancarkan Kempen Pelancongan Antara Negeri Sarawak, ‘Sia Sitok Sarawak’ v1.0 yang dilancarkan pada 17 Ogos 2020.

“Kempen yang dilancarkan pada bulan April lalu telah menjadi satu jenama, Sia Sitok Sarawak V2.0.

“Pada masa yang sama inisiatif ini juga dilaksanakan dengan mengambil kira aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) apabila kebenaran melancong dibuka semula,” katanya.

Beliau berkata, seperti negeri-negeri lain di Malaysia, penularan Covid-19 yang menyerang teruk sektor pelancongan negeri menyaksikan penurunan jumlah pelancong sehingga 93.95 peratus bagi tempoh Januari-Mei 2021 iaitu 56,278 pelancong berbanding 930,056 pelancong pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

Justeru katanya, pembukaan semula sempadan daerah diharap akan merancakkan aktiviti pelancongan domestic.

Sharzede berkata, STB sentiasa komited dalam usaha mempromosikan Sarawak melalui penekanan kepada budaya, pengembaraan, alam semulajadi, festival dan makanan.

Sementara itu katanya, STB juga komited dalam mempromosikan tarikan eko-pelancongan dan keindahan flora dan fauna yang menjadi nadi pelancongan di Bumi Kenyalang itu.

“Bermula tahun ini, STB telah mengambil beberapa langkah untuk mencipta kelestraian dalam industri pelancongan. Pada tahun 2019-2020, STB telah mengadakan bengkel khas melibatkan 3,177 peserta dari 23 homestay. Di bengkel ini mereka mempelajari pengurusan sisa pepejal secara lestari dan juga kemahiran  membuat sabun.

“Baru-baru ini juga kami menganjurkan webinar Pelancongan Bertanggungjawab untuk mendedahkan pemain industri mengenai elemen-elemen penting dalam pelancongan untuk mereka menerima manfaat daripadanya,’’ katanya.

Selain itu katanya, STB meletakkan harapan yang tinggi kepada penganjuran acara secara fizikal yang menjadi tarikan ribuan pelancong untuk ke negeri Sarawak seperti Festival Musik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dan Festival Jazz Borneo (RWMF).

“Sejak pandemic ini, penganjuran acara music itu telah diadakan secara maya dan berjaya menarik sehingga 140,000 penonton daripada 80 buah negara,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here