
CYBERJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, punca utama kes Covid-19 meningkat secara mendadak di Lembah Klang adalah disebabkan langkah kerajaan menggempur kawasan tapak bina dan kongsi di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).
Beliau berkata, sehubungan itu dijangkakan kes harian Covid-19 akan meningkat dengan lebih tinggi dalam tempoh dua minggu ini.
“Di Selangor dan Kuala Lumpur kita memilih untuk laksanakan PKPD di kawasan yang luas dan lokaliti yang banyak.
“Apabila sesuatu kawasan di letakkan bawah PKPD, mass PCR testing akan di buat. Ini bermakna puluhan ribu orang diwajibkan membuat ujian saringan sebanyak dua kali.
“Justeru dalam tempoh dua minggu ini, jumlah kes positif akan naik tinggi. Lebih-lebih lagi di Kuala Lumpur yang kita memutuskan untuk menggempur tapak bina dan kongsi,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 9,180 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini.
Di Selangor dan Kuala Lumpur sahaja masing-masing sebanyak 4,400 dan 1,271 kes dilaporkan.
Dalam pada itu, Annuar juga meminta orang ramai supaya terus bertenang berikutan langkah kerajaan yang akan memperhebatkan pemberian suntikan vaksin dalam masa terdekat ini.
“Dalam masa dua minggu kita dijangka berjaya melepasi minimum 50 peratus dua doss, pada ketika itu dijangka kes positif tahap tiga dan empat akan berkurangan manakala tahap satu dan dua tidak lagi merbahaya kepada mereka yang sudah ada imuniti.
“Kita yakin, bulan Ogos adalah detik kita mula meraih kemenangan apabila Kuala Lumpur menjadi antara kota metropolitan terawal mencapai herd immunity dengan 80 peratus penduduk telah divaksin,” ujarnya.-MT