
CYBERJAYA- Saringan Covid-19 secara menyeluruh di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) punca utama kepada kes positif tinggi di Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, saringan itu menyumbang kepada kes kumulatif berjumlah 1,346 kes selain saringan kontak rapat kes positif di kawasan PKPD.
Amiruddin berkata, dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), beliau mengesyorkan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.
“Cadangan mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan sehingga tamat pelaksanaan PKPD,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Amiruddin juga menganggap matlamat pelaksanaan PKPD iaitu bagi memutuskan rantaian wabak serta mengurangkan beban kepada sistem kesihatan negara masih belum dicapai.
Oleh itu katanya, kerajaan negeri mencadangkan hanya sektor ekonomi yang benar-benar perlu sahaja dibuka bagi pertimbangan MKN.
“Selain itu, kerajaan negeri turut mencadangkan vaksinasi pekerja dipercepatkan dan kadar vaksinasi ditentukan sebagai antara faktor pembukaan sektor ekonomi,” ujarnya.