
CYBERJAYA – Hanya bercakap tanpa disokong dengan tindakan bukanlah satu perkara yang bijak untuk dilakukan dalam tempoh kita melalui keadaan sukar seperti kini.
Kata Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim, kita semua mempunyai kuasa untuk bertindak melakukan sesuatu, jadi kita perlu menggunakan kuasa tersebut daripada hanya ‘hanya bercakap’.
“Kita ada kuasa sebagai pengguna, sebagai usahawan dan pembekal.
“Sebagai pengguna, anda boleh beri wang (yang anda belanjakan) pada organisasi atau peniaga yang memperkuatkan bangsa, agama dan tanahair.
“Tetapi kita tak gunakan (kuasa itu sebetulnya),” kata Mohd. Fadzil yang turut dikenali sebagai Coach Fadzil dalam satu sesi siaran langsung di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Beliau pada masa yang sama turut menekankan kepentingan mengamalkan strategi 3S iaitu Saving, Spending, Sadaqah sebagai satu tindakan bijak dalam mengharungi keadaan sukar sekarang.
“Saving di sini bermaksud, menyimpan dalam bentuk pelaburan, tak kira saham atau bahan mineral seperti emas, dan pelbagaikan portfolio.
“Spending pula bermaksud, kita berbelanja di tempat sepatutnya, terutamanya dengan usahawan-usahawan kecil ataupun peniaga yang mengembalikan keuntungan kepada orang ramai,” tambah beliau.
Dari segi sadaqah, keuntungannya bukan semestinya dalam bentuk fizikal tetapi keredhaan dari Allah.
“Rezeki Allah akan datang dalam pelbagai bentuk, sama ada di dunia atau di akhirat nanti,” kata Coach Fadzil lagi.