
CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan tugas secara rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini.
Ismail Sabri dalam hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, beliau akan melakukan yang terbaik demi rakyat dan negara.
“Pada hari Jumaat yang penuh barakah, saya memulakan tugas dengan menggalas amanah yang lebih besar demi rakyat Malaysia dan negara yang saya cintai.
“Insya-Allah, saya akan melakukan yang terbaik,” katanya dalam hantarah di laman Facebooknya dengan satu lampiran gambar di pejabatnya.
Terdahulu hari ini, Ismail Sabri tiba di perkarangan Bangunan Perdana Putra di Putrajaya kira-kira pukul 10 pagi.
Beliau yang ditemui pemberita ketika itu berkata, jadualnya cuklup padat hari ini kerana sibuk dari pagi hingga ke petang.
Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, pelantikan Ismail Sabri itu sudah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu juga dapat membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.