‘Saya lebih rela masuk mahkamah daripada masuk PN’ – tegas Syed Saddiq

0
251
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

CYBERJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau lebih rela didakwa di mahkamah daripada menyokong blok kerajaan dengan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang akan didakwa di Mahkamah Sesyen Rasuah, Jalan Duta Kuala Lumpur esok berkata, ugutan seperti itu bukan pertama kali berlaku kepadanya.

Malah, Syed Saddiq mendakwa setiap kali Dewan Rakyat akan bersidang, terdapat pihak daripada PN yang cuba mengugutnya untuk menyokong kerajaan.

“Sudah lebih setahun saya diugut untuk didakwa jika tidak menyertai PN, setiap kali ada undian penting di Parlimen, ugutan akan datang.

“Pada bulan Julai, Disember, Januari dan kini seminggu sebelum Parlimen bersidang.

“Berani kerana benar, saya tak akan serahkan jiwa dan prinsip kepada PN,” katanya dalam satu siaran langsung dalam laman Facebook miliknya sebentar tadi.

Terdahulu media melaporkan seorang bekas menteri akan didakwa di mahkamah esok berhubung penyelewengan dana lebih RM1 juta wang peruntukan sebuah parti politik.

Bekas menteri itu dijangka berhadapan dua pertuduhan di bawah seksyen 403 dan 405 Kanun Kesiksaan iaitu kesalahan pecah amanah jenayah.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, beliau akan berada di mahkamah esok pada pukul 8.30 pagi untuk diadili.

Pada masa sama, katanya, pada malam esok beliau akan membuat siaran langsung di laman Instagram miliknya untuk membuat pendedahan lanjut.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here