
CYBERJAYA – Pendakwah bebas, Ebit Lew terluka dengan segala tohmahan dan maki hamun segelintir pihak yang mungkin mendapat maklumat yang salah tentang dirinya.
Ebit berkata, beliau mendapat pelbagai mesej yang dihantar kepadanya dengan ada yang menggelarkan dirinya babi, setan, anak haram, dajal dan penunggang agama.
Bagaimanapun, ebit berkata, beliau sudah pun memaafkan individu-individu terbabit dan beranggapan mungkin mereka tidak tahu perkara yang sebenar tentang dirinya.
“Ramai yang mesej, cakap macam-macam kepada saya. Ada yang gelarkan saya babi, setan, dajal, anak haram dan penunggang agama….hati saya terluka dituduh macam-macam.
“Saya fikir mereka marah sangat ini mungkin beranggapan saya ke Gaza sebab guna duit rakyat Malaysia. Ingin saya jelaskan saya ke Gaza guna duit sendiri.
“Untuk misi ke Gaza saya tidak pernah buka mana-mana tabung sumbang, ia adalah inisiatif saya sendiri dan beberapa kawan rapat,” katanya dalam sesi live hari ini.