
CYBERJAYA – Kesemua pimpinan politik negara dirayu supaya mengenepikan perbalahan dan kepentingan diri sendiri dan segera duduk semeja bagi membina semula negara.
Rayuan itu disuarakan oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim menerusi satu paparan di laman Facebook miliknya, hari ini.
Beliau berkata, sebagai rakyat, beliau hanya boleh bersuara dan menyatakan buah fikiran dalam menyampaikan idea terbaik dalam membangunkan semula negara yang kini kelihatan terumbang ambing akibat penularan Covid-19 dan ketidakstabilan politik.
Mohd. Fadzil yang turut dikenali sebagai Coach Fadzil turut berkata, cara terbaik bagi menangani masalah negara kita ini adalah melalui penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).
“Saya, Coach Fadzil mencadangkan dan merayu Perdana Menteri (abah) Muhyiddin, dan semua pimpinan politik utama negara dari pelbagai parti mengetepikan perbalahan dan perbezaan pendapat dan duduk semeja untuk kita membina semula asas negara kita yang dirosakkan oleh tangan kita sendiri.
“Sesungguhnya kami rakyat marhaen hanya boleh bersuara dan menyatakan kesedian kami untuk menyumbang idea yang terbaik untuk negara tercinta kembali menjadi negara yang di redhai Allah yang pastinya akan memberikan kejayaan di dunia,” catat Coach Fadzil.
Kata beliau lagi, pimpinan negara seolah-olah kelihatan tidak acuh dengan penderitaan rakyat yang semakin parah hari demi hari.
“Perkara yang lebih parah dan sangat berbahaya adalah keadaan Iman yang semakin lemah di kalangan ummat Islam apabila masjid masih lagi ditutup serapat-rapatnya menutup ruang memohon bantuan Allah Rabbul Alamin,” kata Coach Fadzil.
Sebagai pengasas sebuah mall Muslim pertama negara, Coach Fadzil turut menekankan situasi ekonomi masakini yang semakin terencat.
“Perkara yang kedua parah adalah keadaan ekonomi rakyat yang semakin punah!
“(Kira-kira) 65 peratus tenaga kerja negara di sediakan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang majoritinya sudah tutup atau yang tinggal pun sekadar nyawa-nyawa ikan,” tambah beliau.