
CYBERJAYA– Seluruh negara bakal beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara pada awal Ogos depan seperti lapan negeri lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu boleh dicapai susulan prestasi semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ismail Sabri berkata, PICK menunjukkan kadar vaksinasi lengkap kini telah melepasi nilai ambang (threshold) 10 peratus yang ditetapkan untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2.
“Perkembangan ini memberi gambaran bahawa negara berada di landasan yang betul dalam usaha mencapai imuniti kelompok.
“Indikator ini sejajar dengan perancangan PPN yang menjangkakan kadar vaksinasi akan mencapai 10 peratus populasi pada akhir bulan Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, lapan negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak telah berada di Fasa 2 setelah melepasi nilai ambang ketiga-tiga indikator utama yang ditetapkan di bawah PPN.