Semakin ramai doktor berhenti kerja tatkala Covid-19 sedang mengganas

0
1390
Nota yang tular di sebuah hospital kerajaan yang memaklumkan wad Covid-19 telah penuh baru-baru ini

CYBERJAYA – Semakin ramai doktor perubatan yang berstatus kontrak didakwa berhenti kerja susulan peningkatan kes Covid-19 dan terlalu penat dengan bebanan kerja yang dihadapi sejak wabak penyakit itu semakin mengganas dalam negara tanpa dikawal dengan baik.

Menurut kenyataan dalam akaun Twitter, Hartal Doktor Kontrak, sistem kesihatan awam semakin dilihat gagal berdasarkan tiga petanda utama yang membimbangkan sejak kebelakangan ini.

“Pertama hospital semakin penuh dan terpaksa mengarahkan mereka ke hospital lain atau menolak kemasukan pesakit.

“Kedua, semakin ramai doktor yang menyerah kalah dan berhenti kerja dan ketiga semakin ramai yang maut akibat Covid-19 di jalanan. Sampai bila baru kita akan tersedar?,” katanya hari ini.

Dalam ciapan berasingan, akaun tersebut turut menunjukkan surat berhenti kerja oleh seorang doktor perubatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor disebabkan status kontrak dan terlalu penat.

Semalam sahaja sebanyak 199 kes kematian dilaporkan iaitu yang tertinggi pernah direkodkan di Malaysia

Difahamkan sejak dua minggu lalu, kira-kira 15 doktor berstatus kotrak berhenti kerja ketika kes Covid-19 sedang melonjak naik dan negara berhadapan dengan kemungkinan fasiliti kesihatan bakal lumpuh jika situasi semakin tidak terkawal.

Pada 1 Julai lalu, doktor kontrak di seluruh negara menegaskan akan menjalankan mogok pada 26 Julai ini jika dua tuntutan yang dikemukakan dalam Memorandum Gerakan #Hartal tidak diselesaikan kerajaan dalam tempoh ditetapkan.

Hartal Doktor Kontrak berkata, tindakan drastik itu akan diambil sekiranya kerajaan tidak memenuhi tuntutan berkenaan dan tidak ada hitam putih mengenainya dalam tempoh tiga minggu ini.

Antaranya pihaknya menuntut kerajaan menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada dan memohon penjelasan terperinci kriteria pelantikan tetap.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here