
CYBERJAYA- Kerajaan berharap bendera Malaysia berkibar dan lagu Negaraku bergema di bumi Tokyo, Jepun sempena temasya Sukan Olimpik Tokyo minggu hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau percaya atlet negara sudah melakukan persiapan yang mantap untuk bawa pulang pingat demi Malaysia.
“Menyampaikan amanat perdana kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 petang tadi (semalam) di Kementerian Belia dan Sukan.

“Saya percaya wira dan wirawati kita sudah melakukan persiapan yang mantap untuk membawa pulang pingat demi Malaysia.
“Marilah kita bersatu hati memberikan sokongan padu kepada wira dan wirawati negara untuk meraih pencapaian terbaik dalam kejohanan sukan paling berprestij dunia ini.
“Kita panjatkan doa untuk keselamatan dan kesihatan wira dan wirawati negara kita. Semoga bendera Malaysia berkibar dan lagu Negaraku bergema di bumi Tokyo,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya semalam.