Semua jenis vaksin diterima Malaysia berkesan tangani penularan varian baharu Covid-19

0
92
Doktor yang bertugas memberikan suntikan vaksin kepada penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaya.

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua jenis vaksin yang diterima Malaysia ketika ini berkesan terhadap penularan varian baharu Covid-19.

Beliau berkata, pengambilan dua dos vaksin oleh rakyat negara ini juga mampu mengurangkan sehingga 50 peratus kebarangkalian seseorang dijangkiti Covid-19 menyebarkannya kepada orang lain.

“Berkaitan varian baharu, vaksin yang ada ini berkesan terutama dari segi kemasukan ke hospital. Kita boleh terjangkit tetapi ia mengurangkan jangkitan kepada orang lain sehingga 50 peratus.

“Kita harap untuk tempoh ke depan ini, rakyat perlu dapatkan vaksin untuk kita dapat mengurangkan kemasukan ke hospital dan kita boleh hidup dengan virus ini, dengan penyelesaiannya adalah vaksin,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, setakat hari ini sebanyak 2,779 petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang telah melengkapkan dua dos vaksin dijangkiti Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya mendapati kebanyakan mereka mengalami gejala yang rendah iaitu pada tahap satu dan dua sahaja.

“Mereka yang dijangkiti selepas melengkapkan dos selepas dua minggu adalah seramai 2,779 warga KKM. Daripada jumlah itu, (pesakit) tahap satu dan dua adalah majoriti, tahap tiga dan empat, masing-masing tiga orang saja.

“Selepas selesai vaksinasi, gejala diterima mereka adalah ringan atau tidak ada gejala langsung. Jadi mereka ini boleh dikuarantin di rumah dan jumlah kemasukan ke hospital akan berkurang,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here