
CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titahnya memerintah supaya kerajaan negeri mempercepatkan pemberian vaksin kepada pekerja sektor perkilangan.
Melalui laman Facebook Selangor Royal Office semalam, baginda menyifatkan usaha itu perlu disegerakan bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti.
Pemberian vaksin juga perlu untuk mencapai sasaran imuniti kelompok yang sedang dilaksanakan di peringkat nasional.
Menurut baginda, Selangor sebagai negeri yang mempunyai banyak kilang perlu mengambil langkah tersebut bagi membendung kemunculan kluster demi kluster.
Baginda dalam masa sama menggesa pihak yang bertanggungjawab ke atas pengagihan vaksin di seluruh negara menambah jumlah pemberian vaksin di negeri tersebut dengan segera.
Langkah itu titahnya perlu untuk mengimbangi jumlah vaksinasi dengan jumlah populasi penduduk negeri itu.
Sementara itu, ketika menerima menghadap Timbalan Mufti Selangor yang baharu, Profesor Madya Miszairi Sitiris di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini, baginda turut menzahirkan kebimbangan berkenaan penularan wabak Covid-19 terutamanya menjelang sambutan Aidiladha minggu hadapan.
Baginda menasihatkan umat Islam menyambut Aidiladha secara sederhana di rumah masing-masing dan tidak melakukan perjalanan merentas daerah atau pulang ke kampung kerana kes sporadik Covid-19 dalam negara semakin meruncing.