Sultan Selangor titah darjah kebesaran individu terlibat rasuah ditarik balik

0
139
Sharafuddin of Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan perasaan dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di Selangor ditahan berikutan terlibat dengan kegiatan rasuah di negeri itu.

Setiausaha Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda turut menitahkan supaya darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri yang dikurniakan baginda ditarik balik jika didapati melakukan kesalahan rasuah.

“Perbuatan ini boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik seluruh pegawai kerajaan di Selangor.

“Baginda menegaskan bahawa sesiapa pegawai kerajaan di Selangor ini yang didapati bersalah terlibat dalam aktiviti rasuah atau pecah amanah hendaklah dikenakan tindakan tatatertib dan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Mana-mana pegawai kerajaan dan ahli-ahli Politik yang telah dikurniakan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor dan didapati telah melakukan kesalahan rasuah, maka kurniaan tersebut akan ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa orang pegawai kanan dalam pentadbiran kerajaan negeri bagi membantu siasatan rasuah.

Dalam pada itu, Mohamad Munir berkata, baginda juga menzahirkan penghargaan kepada pihak SPRM yang telah melaksanakan tanggungjawab menyiasat dan memastikan aktiviti rasuah di negeri itu dapat dibanteras.

Pada masa sama, katanya, baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan penyiasatan yang telus dan teliti serta mendapatkan bukti-bukti yang kukuh bagi memastikan mereka yang melakukan rasuah tersebut tidak terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here