
CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan sekiranya masih ada yang berdegil untuk pulang ke kampung di luar daerah sempena musim perayaan Aidiladha.
Oleh itu, Baginda mengambil kesempatan untuk menasihati umat Islam agar menyambut Hari Raya Aidiladha di rumah masing-masing demi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal.
“Baginda berharap sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini diraikan dalam suasana sederhana dan setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut SOP yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Baginda mahu supaya umat Islam terus memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar sekalian rakyat terus dilindungi dan dijauhkan daripada musibah wabak Covid-19 dan kematian,” titah Baginda sempena Hari Raya Aidiladha 1442 Hijrah menerusi Facebook Selangor Royal Office, hari ini.
Dalam pada itu, Baginda turut berdukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhwah ini, terpaksa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada.
“Oleh itu, baginda menggesa orang Melayu Islam supaya mengukuhkan perpaduan dan teguh bersatu hati menuruti setiap perintah Allah SWT, serta tidak mengadu domba dan bertelingkah mengenai isu-isu remeh yang tidak bermanfaat,” titah Baginda.