
CYBERJAYA – Warga emas berumur 60 tahun ke atas yang belum mendapat janji temu vaksinasi boleh hadir secara terus atau ‘walk in’ di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kuala Lumpur dan Selangor berkuat kuasa esok.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covi-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, warga emas yang belum mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin juga boleh berbuat demikian.
Sehubungan itu, katanya, laluan khas bagi warga emas akan disediakan di setiap PPV di KL dan Selangor, selain garis panduan bagi melancarkan proses pemberian vaksin secara terus.
“Kita nak pastikan setiap warga emas ini mendapat perlindungan secepat mungkin, justeru kerajaan memutuskan pendekatan ‘walk in’ (secara terus).
“Selain itu, kita akan pastikan warga emas menerima vaksin dalam keadaan selesa dan selamat, memandangkan jumlah kes harian masih tinggi di Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar khas Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan projek perintis itu kerana berdasarkan data pihaknya mendapati masih ramai golongan tersebut belum menerima vaksin Covid-19.
Katanya, pendekatan yang sama juga akan dibuat negeri lain dalam masa terdekat ini.-MT