Suspek tumbuk polis maut ketika cuba melarikan diri

0
442

ALOR SETAR – Suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian menumbuk seorang anggota polis wanita semalam dan menconteng dinding Istana Anak Bukit di sini maut dalam kemalangan di Bedong, Sungai Petani.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek berusia dalam lingkungan 30-an itu dipercayai terlibat dalam kedua-dua kejadian dan maut dalam kemalangan semasa diburu polis.

Beliau berkata, operasi mengesan suspek membuahkan hasil di kawasan Gurun, Sungai Petani apabila dia berjaya ditemui namun melarikan diri dengan menaiki motosikal.

“Pasukan polis terus mengekori suspek dan telah memberi amaran untuk berhenti namun dia tidak berhenti dan terus melarikan diri.

“Semasa dalam usaha melarikan diri, motosikal yang ditunggang laju oleh suspek telah terbabas di kawasan Bedong, Sungai Petani dan telah mengalami kecederaan.

“Polis telah menghubungi hospital untuk mendapatkan bantuan ambulan. Apabila ambulan sampai, pegawai perubatan yang bertugas telah mengesahkan suspek telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Dalam video yang tular semalam, seorang anggota polis wanita cedera dan berdarah di muka selepas ditumbuk oleh penyerang lelaki yang tidak dikenali di kawasan pintu masuk IPD Kota Setar, kira-kira pada pukul 5 petang.

Terdahulu sekitar pukul 3 petang, suspek dipercayai terlibat dalam perbuatan menconteng tembok dinding Istana Anak Bukit dengan tulisan “SAMR”.

“Suspek juga membaling sebuah objek disyaki pistol mainan lalu melarikan diri dengan sebuah motosikal hitam,” katanya.

Kata Kamarul Zaman, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 memiliki senjata tiruan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here