
JAKARTA – Persatuan Perubatan Indonesia menafikan keberkesanan susu keluaran Nestle yang dikenali sebagai Susu Bear di pasaran negara itu sebagai makanan tambahan yang dapat mencegah wabak Covid-19.
Ketua Pasukan Petugas Khas Covid-19, Zubairi Djoerban berkata, pengambilan susu berkenaan tidak mempunyai sebarang bukti pencegahan sebaliknya sama sepeti susu-susu lain.
“Teruskan mengambil susu jenis itu atau apa-apa jenis susu tepung lain jika anda mahu kerana ia tidak berbeza dengan susu lain,” katanya memetik laporan media tempatan.
Susu lembu Bear keluaran Nestle menjadi rebutan orang ramai di Indonesia selepas khabar angin yang mengatakan susu itu meningkatkan antibodi bagi mencegah jangkitan Covid-19.
Khabar angin itu juga menyebabkan harga produk itu naik mendadak daripada harga biasa 9,000 rupiah (RM2) kepada 50,000 rupiah Indonesia (RM14).
Semalam, media tempatan melaporkan orang ramai berasak di sebuah pasar raya di Tangerang untuk membeli susu berkenaan.
Dalam pada itu, Nestle Indonesia memaklumkan kenaikan harga produk itu di luar kawalan mereka namun akan memastikan produk berkenaan akan sentiasa berada di pasaran.
Zubairi berkata, selain pengambilan susu, orang ramai dinasihatkan memakan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan.