Syarikat kenderaan berautonomi milik Toyota beli syarikat navigasi peta yang berpangkalan di AS

0
50
Toyota

TOKYO – Syarikat Toyato Motor mengumumkan berjaya mengambil alih syarikat Carmera yang menyediakan perkhidmatan navigasi peta dan data untuk kenderaan tanpa pemandu.

Bagaimanapun pengambilalihan itu yang dibuat menerusi sebuah syarikat subsidiari kumpulan itu, Woven Planet tidak menyebut nilai yang dibayar untuk mengambil alih syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.

Menurut Reuters, pengambilalihan itu menjadikan syarikat pembuat kenderaan terkenal dunia itu mula meneroka pelaburan baharu dalam teknologi kenderaan sekali gus memberikan saingan ke atas syarikat gergasi teknologi termasuk Apple dan Amazon.

Dalam pada itu, menurut Carmera, pengambilalihan itu membolehkan Toyota mendapat akses secara nyata, peta dalam bentuk definisi tinggi dan maklumat sumber khalayak (crowdsourced inputs) yang sangat penting kepada kenderaan berautonomi untuk mengemudi dan mengesan lokasi secara sendiri.

Sejak 2018, kedua-dua syarikat berkenaan telah bekerjasama dalam beberapa projek termasuk mengemaskini teknologi peta berteknologi tinggi dengan kadar ketepatan yang lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Woven Planet, James Kuffner berkata, syarikat berkenaan dibangunkan pada awal Januari lalu untuk tujuan melabur dan membangunkan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, syarikat itu juga terlibat dalam membangunkan prototaip bangunan masa depan yang dikenali sebagai Woven City yang terletak di Gunung Fuji di mana bandar itu dikuasakan melalui sel bahan bakar hidrogen yang akan menjadi makmal kepada kenderaan berautonomi.

Sehubungan itu, Kuffner berkata, menerusi pembelian Carmera, Woven Planet akan membangunkan dan menjual platform peta kepada pengilang dan syarikat kenderaan yang memerlukan data yang tepat dan data asli.

“Pada ketika ini terlalu banyak ketidakpastian yang bakal berlaku kepada industri automatif bagaimanapun saya percaya ia akan terjadi sangat berbeza dalam tempoh 10 hingga 30 tahun lagi.

“Oleh itu, perkara yang kita boleh lakukan sekarang adalah dengan mencipta masa hadapan dengan pelaburan, ambil keuntungan melalui perniagaan Toyota sedia ada dan melabur ke dalam teknologi masa hadapan sekali gus mencipta masa hadapan kepada Kumpulan Toyota,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here