
CYBERJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengagihkan bantuan berupa bahan keperluan asas kepada penduduk yang terkesan akibat wabak Covid-19 di kawasan parlimen diwakilinya.
Beliau berkata, sebanyak tiga treler barang bantuan makanan sedang disiapkan untuk diagihkan kepada 2,500 ahli keluarga di Muar.
“Alhamdulillah dapat bantu lagi 2,500 keluarga Muar. Sekarang waktu rakyat susah, lapar dan sakit. Saya bantu apa yang mampu kerana itu memang tanggungjawab dan amanah rakyat Parlimen Muar bagi saya,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebook miliknya hari ini.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut melahirkan penghargaan terhadap seorang pembantunya yang dikenali sebagai Nadhir yang bertungkus lumus menjayakan usaha tersebut.
“Terima kasih Nadhir. Nadhir memang banyak bantu misi saya menolong keluarga Muar. Bukan kecil usahanya.
“Sama juga dengan rakyat Malaysia, kalau tak ada sokongan sebegini, kemampuan saya sebagai ahli Parlimen pembangkang memang terhad,” ujarnya.-MT