
CYBERJAYA – Lembaga Tabung Haji (LTH) akan disenaraikan sebagai sebuah institusi kewangan Islam dengan tertakluk di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Menurut Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, sehubungan itu LTH akan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, keputusan itu dibuat oleh jemaah menteri yang bermesyuarat semalam.
“Aspek governans, integriti dan reputasi LTH sebagai institusi simpanan kewangan Islam adalah amat penting bagi memastikan agar kedudukan kewangan LTH lebih kukuh dan stabil untuk menjamin serta memelihara kepentingan para pendeposit dan jemaah haji Malaysia.
“Sebagaimana yang termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995, simpanan pendeposit kekal selamat dan dijamin oleh kerajaan,” katanya.
Semalam, kerajaan dilapor akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga TH.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan RCI itu hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.-MT