
CYBERJAYA – Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini dipecat daripada jawatan itu serta merta.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehubungan itu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilantik menjalankan tugas sebagai Pengerusi War Room Barisan Nasional dan UMNO.
Pada masa sama, beliau juga diamanahkan sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO berkuatkuasa serta merta.
“Penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya UMNO ini bagi memperkukuhkan organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi.
“Dengan kedudukan beliau sebagai Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, ia akan memudahkan proses membuat keputusan dalam soal persiapan Pilihan Raya yang melibatkan semua parti-parti komponen Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini banyak pihak telah menjangkakan nasib Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak tidak bertahan lama selepas tersebar satu klip video beliau mengkritik keputusan UMNO ketika Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini.
Menerusi mesyuarat itu, beliau tidak bersetuju keputusan majoriti MKT untuk menarik semula sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak kena pada masanya lagi.-MT