Tak pakai pelitup muka, Tajudin dikompaun sekali lagi

0
70
Gambar yang tular dalam media sosial apabila Ahli Parlimen Pasir Salak itu dilihat tidak memakai pelitup muka di Parlimen semalam

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sekali lagi dikenakan kompaun atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka.

Terbaharu, beliau dikompaun selepas didapati tidak memakai pelitup muka ketika berada di ruang legar Parlimen, di sini, bersama seorang individu lain semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya mengesan sebuah mesej yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @sultanoftasik yang memaparkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka jam 10 pagi tadi.

“Hasil siasatan dijalankan mendapati Tajuddin menghadiri Sidang Mesyuarat Khas Ahli Dewan Rakyat semalam. Pada hari sama jam 2.30 petang, beliau didapati tidak memakai pelitup muka ketika bersama seorang individu lain di ruang legar Parlimen.

“Akibat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu, satu notis kompaun dikeluarkan terhadap beliau 1 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP PKP dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam dalam usaha memutuskan penularan jangkitan pandemik Covid-19.

Pada Jun lalu, bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), itu dikenakan kompaun RM1,500 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media pada 25 Mei lalu.

Pejabat Peguam Negara memutuskan mengenakan kompaun RM1,500 ke atas beliau kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here