Tak sampai seminggu PKPD, MITI benarkan lebih banyak kilang beroperasi

0
640
Gambar hiasan- foto/FaridJanudin

CYBERJAYA – Tidak sampai seminggu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dilaksanakan di sebahagian besar daerah di Selangor, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan lebih banyak kilang yang bukan berstatus perkhidmatan perlu beroperasi.

Menurut MITI dalam satu kenyataan, berkuatkuasa hari ini sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan rantaian bekalannya, sektor aeroangkasa, mesin dan peralatan (M&E) bagi pengeluaran produk kesihatan dan makanan serta syarikat pembuatan makanan dan minuman utama dibenarkan untuk beroperasi di lokaliti yang dikenakan PKPD di Selangor.

“Keputusan ini dibuat berikutan peranan sektor-sektor ini yang penting dan signifikan dalam menyokong pengeluaran produk dalam rantaian bekalan global serta pengeluaran kritikal bagi sektor kesihatan dan makanan dan minuman di dalam negara,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Malakat Tribune mendedahkan beberapa kilang bukan berstatus perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi di bawah fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) meskipun PKPD dilaksanakan di kawasan tersebut.

Kebenaran yang diberikan oleh MITI itu mencetuskan kemarahan banyak pihak yang tidak berpuas hati apabila pihak kilang dibenarkan beroperasi sedangkan sektor ekonomi lain perlu akur pada arahan penutupan.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, bagi sektor aeroangkasa kebenaran diberikan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan pemulihan.

Sehubungan itu, katanya, syarikat-syarikat dalam sektor berkenaan boleh memulakan semula operasi dengan menggunakan surat kelulusan Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 sedia ada yang mempunyai akronim ‘PKP 3.0’ dan bertarikh pada bulan Jun 2021 dan ke atas.

“Syarikat-syarikat diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pengilangan dan Pembuatan PKPD Selangor semasa sepenuhnya yang merangkumi antaranya sektor dan aktiviti yang dibenarkan untuk beroperasi.

“Selain keperluan mematuhi kapasiti operasi pada kadar 60 peratus bagi pekerja di premis dan 40 peratus lagi pekerja untuk melaksanakan amalan bekerja dari rumah,” katanya.

Katanya, melalui Proram Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), yang bermula 16 Jun lalu MITI akan memastikan program vaksinasi dalam kalangan pekerja sektor pembuatan akan dipertingkat dan dipercepatkan untuk melindungi kesihatan pekerja dan menjamin kelangsungan ekonomi negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here