
CYBERJAYA- Tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bagi memberi fokus kepada kebajikan rakyat.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman berkata, tindakan itu juga bagi memberi fokus kepada proses vaksinasi agar disegerakan.
“Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah sebulat suara bersetuju menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Jelas, tindakan UMNO adalah memberikan fokus kepada kebajikan rakyat dan proses vaksinasi disegerakan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Mesyuarat MKT UMNO malam tadi memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Muhyiddin berkuat kuasa serta merta.
UMNO juga menuntut supaya Muhyiddin meletak jawatan untuk memberi laluan kepada pelantikan seorang perdana menteri baharu.
MKT UMNO turut menegaskan sebarang usaha untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan ditolak sepenuhnya oleh parti itu.