Tarikh operasi fasa satu MRT laluan Putrajaya dianjak ke November 2021

0
33
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Tarikh pembukaan fasa satu Mass Rapid Transit (MRT) laluan Putrajaya dianjak ke pertengahan November ini.

Menurut Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), tarikh tersebut dipinda berikutan adanya keperluan untuk melanjutkan tempoh operasi percubaan.

“Jadual latihan asal telah terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang dikuatkuasakan di kebanyakan wilayah Selangor dan lokasi terpilih di Kuala Lumpur,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd. Zarif Hashim dalam satu kenyataan, hari ini.

“Tarikh pembukaan baharu itu juga dipilih untuk dilaksanakan dalam Fasa Keempat Rancangan Pemulihan Nasional ketika ekonomi negara diharapkan dibuka sepenuhnya dan acara pelancaran boleh berlangsung,” katanya lagi.

Pada ketika ini, operasi percubaan yang bermula pada 29 April lalu, sedang dilakukan oleh pengendali di sepanjang laluan yang telah disiapkan.

Mohd. Zarif turut menambah, pembinaan MRT Laluan Putrajaya berjalan lancar dan kini telah melepasi tahap 90 peratus siap keseluruhan.

Sementara itu, tahap kemajuan untuk fasa pertama antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Kampung Batu pula adalah 99 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here