
IPOH – Sebuah masjid di Taman SPPK, Pasir Puteh di sini diconteng menggunakan semburan cat merah awal pagi, semalam.
Dalam gambar yang tular dalam media sosial sejak semalam, individu tidak bertanggungjawab itu meninggalkan mesej supaya tidak memasang bunyi dengan terlalu kuat.
Bunyi tersebut dipercayai merujuk kepada laungan bunyi azan lima waktu dan audio mengaji al-Quran yang dipasang pihak masjid.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu selepas menerima laporan daripada seorang ahli jawatankuasa masjid berusia 60 tahun pada jam 9.07 pagi.

“Kejadian disedari pada jam 5.15 pagi ketika pengadu dan isteri tiba di masjid lalu mendapati terdapat tulisan cat merah ‘jangan buka bunyi terlalu kuat’ pada tembok pintu masuk utama masjid.
“Tiada individu lain di kawasan sekitar selain pengadu dan isteri,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.
Yahaya berkata, pengadu yang juga muazin di masjid berkenaan memaklumkan beliau akan memasang alunan bacaan ayat al-Quran selama kira-kira 10 minit sebelum melaungkan azan solat subuh, setiap hari.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencemarkan tempat ibadat yang boleh dikenakan hukuman maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.