“Terima kasih orang Jasin” – Diaz

0
785
Garaj yang dijadikan pusat latihan Diaz di Kampung Kesang Tua, Jasin sejak Oktober tahun lalu.

CYBERJAYA – Pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020, Hidilyn Diaz berterima kasih kepada penduduk Kesang Tua di Jasin, Melaka di atas layanan dan budi baik mereka.

Diaz, yang pada awalnya menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat latihannya sejak Februari tahun lalu, terpaksa mencari lokasi latihan baharu apabila negara mula mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada Oktober.

Berikutan ketiadaan pusat latihan, Diaz ditawarkan sebuah rumah yang dimiliki oleh seorang pegawai persatuan angkat berat Malaysia di Kampung Kesang Tua untuk mereka tinggal dan dijadikan pusat latihan.

“Saya amat berterima kasih kepada penduduk Kesang Tua, terutamanya Tuan Janus dan Makcik Rafidah.

“Pada ketika kami tidak tahu hendak ke mana, anda telah berikan saya harapan, beri saya satu garaj untuk dijadikan tempat latihan,” kata Diaz dalam satu sidang akhbar, semalam.

Berasal dari Zamboanga, Filipina, Diaz merupakan anak kepada seorang pengayuh beca, jadi suasana kampung sebenarnya sedikit sebanyak mengubati kerinduannya pada keluarga yang sudah tidak ditemui sejak Disember 2019.

Diaz turut menyatakan keseronokannya ketika berlatih di sana, kerana dapat bercampur gaul dengan penduduk sekitar, dan berlatih bersama anak-anak di sana.

Semalam, Diaz berjaya merangkul pingat emas pertama buat negaranya dalam acara angkat berat wanita kategori 55 kilogram (kg), menewaskan peserta favourite dari China, Liao Quiyun.

Lebih manis apabila jumlah angkatan Diaz iaitu 224 kilogram turut dicatat sebagai rekod baharu temasya.

Dalam acara snatch, Diaz berjaya mengangkat bebanan sebanyak 97kg, manakala dalam acara snatch & jerk, dia berjaya mengangkat bebanan sebanyak 127kg.

Pingat perak dimenangi oleh Quiyun, dengan pingat gangsa dimenangi oleh peserta Kazakhstan, Zulfiya Chinshanlo.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here