TH: Adakah Menteri Agama mahu dikenang sebagai seorang yang gagal? – soal Pembela

0
619
Tabung Haji

CYBERJAYA – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) merayu kepada Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri untuk campur tangan dalam urusan Tabung Haji dan tidak melepaskannya kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, kegagalan Menteri Agama mempertahankan institusi milik umat Islam itu jatuh ke ‘tangan pihak’ lain dibimbangi menjadi bahan cacian dan cercaan umat Islam khususnya di Malaysia.

“Saya merayu kepada kerajaan untuk menolak cadangan ini jika benar-benar kerajaan ini mementingkan nasib bangsa Melayu dan umat Islam.

“Kepada Menteri Agama, saya merayu agar mempertahankan institusi ini supaya kekal di bawah Menteri Agama.

“Jika tidak saya bimbang sejarah akan melabelkan Menteri Agama sebagai seorang yang gagal mempertahankan institusi penting ekonomi umat Islam ini, suatu hari nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa Tabung Haji (LTH) akan disenaraikan sebagai sebuah institusi kewangan Islam dengan tertakluk di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan akan dikawal oleh BNM.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, banyak persoalan yang timbul apabila Tabung Haji diletakkan di bawah BNM antaranya mengenai pindaan-pindaan yang akan dibuat terhadap Akta Tabung Haji 1995 itu dan kadar pemberiam hibah kepada pendeposit.

Aminuddin Yahaya

Katanya, tidak seperti bank lain, Tabung Haji sentiasa memberikan hibah yang tinggi kepada pendeposit mereka.

“BNM adalah di bawah bidangkuasa Menteri Kewangan; bagaimana jika suatu hari nanti naik pula Menteri Kewangan yang bukan beragama Islam seperti yang pernah berlaku sebelum ini?

“Apakah selepas ini Tabung Haji masih bebas untuk membuat pelaburan di dalam sektor hartanah, pertanian, perumahan dan sebagainya demi memperkukuhkan ekonomi umat Islam atau apakah akan disekat oleh BNM kerana pelbagai regulasi bank?

“Tabung Haji adalah milik orang Islam dan untuk menjaga kepentingan ekonomi umat Islam. Adakah dengan meletakkan bawah Bank Negara Malaysia, perkara ini akan terjamin?,” soalnya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihaknya tidak membantah langkah untuk melaksanakan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) terhadap Tabung Haji, tetapi langkah meletakkan institusi ini di bawah Kementerian Kewangan adalah sesuatu yang tidak patut dan berbahaya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here