
BANGKOK – Thailand melaporkan kematian pertama yang dikaitkan dengan campuran vaksin Sinovac dan AstraZeneca.
Menurut laporan Thaiger News, ia melibatkan seorang wanita yang berumur 39 tahun yang maut akibat pembengkakan otak akibat darah beku.
Ketika ini, Thaildan bersiap sedia meneruskan perancangan mencampur dua vaksin berbeza bagi mengekang penularan varian Delta di negara tersebut.
Pengarah Kesihatan dan Kes Kecemasan Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Chawetsan Namwat mendedahkan laporan bedah siasat kepada umum berikutan kematian berlaku sehari selepas mangsa menerima vaksin campuran.
Punca kematian rasmi adalah edema serebrum, iaitu ketika cecair berlebihan terkumpul di otak, akhirnya menyebabkan otak membengkak dan mampatan saluran darah otak.
Laporan bedah siasat bagaimanapun tidak menyatakan adakah ia dianggap sebagai kesan langsung daripada penerimaan vaksin, kesan sampingan atau insiden kesihatan semata-mata.
Wanita itu memang mempunyai masalah darah tinggi namun doktor di pusat vaksinasi memaklumkan mangsa dan suaminya bahawa vaksin itu masih selamat serta sesuai untuknya.
Suami mangsa turut mendapat campuran yang sama dengan satu dos Sinovac dan satu dos AstraZeneca namun hanya mengalami sedikit ketidakselesaan selepas itu.
Tindakan mencampurkan vaksin sudah menjadi isu yang dipandang serius Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila menyatakan penentangan pada awalnya.
WHO kemudiannya melembutkan pendapat dengan mengatakan bahawa individu tidak boleh memilih campuran vaksin mereka tanpa panduan perubatan profesional.