
BANGKOK – Lebih 600 petugas kesihatan Thailand yang telah menerima dua dos vaksin Sinovac disahkan positif Covid-19.
Menurut Reuters, perkara itu diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Thailand, hari ini.
Laporan itu menyebut, seramai 677,348 petugas kesihatan telah menerima suntikan dua dos, dan daripada jumlah itu, seramai 618 dijangkiti.
Seorang jururawat turut dilaporkan meninggal dunia manakala seorang lagi petugas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Pada ketika ini, pihak kementerian sedang menimbang cadangan yang dikemukakan oleh sebuah panel pakar supaya dos yang ketiga diberikan kepada kumpulan petugas kesihatan yang berisiko bagi meningkatkan imuniti.
“Berdasarkan cadangan, dos ketiga yang akan diberi sama ada dari jenis ‘viral vector’ seperti Astrazeneca, ataupun jenis mRNA,” kata pegawai kanan kementerian, Sopon Iamsirithawon.
Beliau menambah, cadangan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat esok.
Pada hari ini, Thailand melaporkan pertambahan sebanyak 9,418 kes baharu, angka jangkitan harian tertinggi sejak pandemik ini mula melanda dunia, dan 91 kematian.
Setakat ini, Thailand telah merekodkan sebanyak 336,371 kes yang disahkan, dan 2,711 kes kematian.