
CYBERJAYA – Seorang pengusaha muslim mi kuning di Pontian, Johor berdepan risiko penutupan premis operasi berikutan ketiadaan lesen mengoperasikan kilang pembuatan.
Rintihan Mohd. Adli Mohd. Arif menjadi tular di media sosial sejak dia memuat naik paparan itu, semalam.

Ketika dihubungi, Mohd. Adli berkata, beliau sememangnya mahu mendapatkan lesen, namun situasi semasa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ia tertangguh.
“Namun, saya teruskan operasi kerana sudah memperoleh surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Untuk rekod, kilang pembuatan bahan makanan dibenarkan beroperasi pada waktu PKP.
Dalam insiden semalam, kata Mohd. Adli, kilangnya yang terletak di Kampung Rambah, Pontian ‘diserbu’ oleh penguatkuasa dari Majlis Perbandaran Pontian (MPP), Kementerian Kesihatan (KKM) dan dibantu oleh pighak Polis Diraja malaysia (PDRM).
Hasil serbuan, premis tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 berikutan ketiadaan alat pengimbas suhu, dan dua kompaun daripada MPP atas kesalahan tiada lesen operasi dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sebanyak RM500 setiap satu kesalahan.
“Saya akur dengan kompaun yang diterima, kerana kebetulan, pengimbas suhu di kilang kecil saya ini rosak, dan pengimbas baharu hanya tiba hari ini,” katanya lagi.
Mohd. Adli, 31, mula mengusahakan pembuatan mi kuning tanpa asid borax dan kapur ini sejak tahun 2016.
“Perniagaan ini asalnya dimulakan oleh allahyarham bapa saya pada 1995.
“Setelah allahyarham meninggal dunia, ibu saya meneruskan pengoperasian pada 2008 sebelum saya ambil alih,” jelas Mohd. Adli.
Katanya lagi, buat masa ini beliau hanya memasarkan mi kuning buatannya di pasaran tempatan, dan turut menjualnya menerusi kedai atas talian Shopee.
Ketika ditanya mengenai tindakan beliau seterusnya, Mohd. Adli berkata, buat masa ini beliau memfokuskan untuk melunaskan bayaran saman yang dikenakan terhadapnya sambil mencari jalan supaya isu lesen operasinya dapat diselesaikan.
“Saya mahu dapatkan lesen operasi, tetapi di waktu PKP ini yang mana kebanyakan pejabat tidak dibuka, menyulitkan individu seperti saya,” katanya.