
CYBERJAYA – Negeri-negeri yang berjaya melepasi fasa pertama dan seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak akan berpatah semula ke fasa sebelumnya.
Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sekiranya berlaku kenaikan kes Covid-19 di negeri yang sudah melepas fasa 1 maka negeri itu akan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mengikut kawasan.
Tindakan ‘berpatah semula’ ke fasa sebelum katanya, bukan tindakan yang mampan dalam rancangan PPN untuk mengembalikan rakyat kepada kehidupan normal.
“Kalau kita beransur pulih dari fasa satu PPN ke fasa dua sebagai contoh, kita tak boleh balik ke fasa satu dan kembali ke fasa dua.
“Sebaik sahaja beralih ke fasa dua, kalau ada kes (Covid-19) di kawasan atau lokasi tertentu, ia akan ditutup atau (dikenakan) PKPD, bukan lagi seluruh negeri,“ katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di Kiosk D’[email protected] dan Medan Selera Presint 9, di sini semalam.
Setakat ini lapan negeri sudah beralih ke fasa 2 PPN iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis, Pahang, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang.
Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPD perlu dipertingkatkan kerana terdapat juga kilang dalam kategori ‘essential’ yang dibuka.
“Contohnya, ujian saringan Covid-19 perlu dibuat sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Yang penting, kita kena kurangkan kes di kawasan PKPD yang menyumbang kepada jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam negara,” katanya.