Tidak perlu isi borang, datang ambil sahaja kerana tiada siapa perlu berlapar

0
2360
Sudut Infaq Corner di Malakat Grocer di Malakat Mall, Cyberjaya

CYBERJAYA- Tidak perlu isi borang, hanya perlu datang dan ambil sahaja barangan yang diperlukan di Malakat Grocer di Malakat Mall untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Ketua Pegawai Operasi Malakat Grocer, Farah Hazwani Amir Hashim berkata, kaedah sama juga terpakai di mana-mana lapan lagi outlet Malakat Grocer yang telah beroperasi.

Beliau berkata, segala barangan yang diletakkan di sudut Infaq Corner di setiap Malakat Grocer itu adalah sumbangan orang ramai dan juga pihak pengurusan sendiri.

Infaq Corner Malakat Grocer

“Datang ambil sahaja apa yang diperlukan, barangan ini ada yang didermakan oleh pelanggan melalui pakej infaq dan kami juga ada sediakan barangan-barangan keperluan lain.

“Terima kasih kepada sudi menderma dan Kumpulan Malakat Eco juga turut menderma melalui yayasan kami,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune hari ini.

Menurut Farah Hazwani, pihaknya akan memastikan barangan di sudut infaq corner sentiasa ada untuk mereka yang memerlukan.

Terima kasih Malakat Grocer

“Sesiapa yang perlukan boleh hadir ke Malakat Grocer di Cyberjaya dan di outlet kami yang lain, kita memahami keadaan semasa ketika ini dan bagi kami tiada siapa yang perlu berlapar,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lelaki yang enggan mendedahkan namanya mengucapkan terima kasih kepada Malakat Grocer kerana menyediakan makanan asas kepada mereka yang memerlukan.

“Alhamdulillah, hari ini saya datang ambil beras, telur, gula dan beberapa barangan lain. Keadaan sekarang betul-betul perit, gaji dipotong dan tidak sama seperti dahulu.

“Apabila ada pihak seperti ini yang menyediakan makanan asas, saya amat bersyukur dan sangat-sangat berterima kasih,” katanya.