
KOTA KINABALU – Polis negeri memberi jaminan tidak semua penduduk yang disahkan positif Covid-19 dari Pulau Gaya di sini telah melarikan diri ke pusat bandar.
Menurut polis, setakat ini sebanyak 5 daripada 71 individu yang dipercayai meninggalkan penempatan di pulau itu telah dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebahagian besar penduduk kini menjalani kuarantin di beberapa kampung termasuk di Kampung Pondo, Kampung Wakaf dan Kampung Labuan.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang melakukan pencarian dari rumah ke rumah menggunakan bot.
“Ada yang berada di kampung berhampiran kerana tinggal bersama saudara.
“Sebahagian yang lain adalah penduduk dari masyarakat Pala’uh. Tahap pemahaman mereka kepada wabak Covid-19 sangat rendah dan tidak mengetahui bahawa mereka dipantau oleh KKM
“Kumpulan penduduk yang terlibat tidak tahu bahawa mereka harus menyerah di pusat kuarantin di Masjid Kampung Pondo Tengah dan Kampung Labuan (di pulau itu),” katanya.

Mohd Zaidi berkata, polis telah memperoleh maklumat dan gambar penduduk yang dipercayai ‘hilang’ untuk menjejak mereka.
“Kami masih mengesan individu yang hilang termasuk memeriksa bilik-bilik sewa di sekitar Sinsuran dan Kampung Air seperti yang dihebahkan di media sosial,” katanya.
Pulau Gaya yang terletak di perairan ibu negeri merupakan antara lokaliti di Sabah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) sejak 30 Jun hingga 13 Julai berikutan penularan kes jangkitan Covid-19 yang dikesan tinggi di kawasan tersebut.