
TANGKAK – Dipercayai akibat tidak tahan ditegur, seorang lelaki berusia 36 tahun bertindak menikam bapa saudaranya dalam kejadian di Kampung Serom 3, Sungai Mati, di sini.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan, Mohd Fadhil Minhat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kematian seorang warga emas berusia 72 tahun akibat ditikam dalam satu pergaduhan melibatkan ahli keluarga pada pukul 1.19 tengahari semalam.
“Kami menerima laporan dari seorang lelaki yang mengatakan bahawa adik iparnya tidak bernyawa setelah ditikam oleh suspek menggunakan pisau di dalam rumah mereka.
“Sepasukan polis segera ke tempat kejadian dan menangkap suspek. Polis merampas pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan,” katanya.
Mohd Fadhil berkata, terdapat juga beberapa kesan luka tikaman pada wajah, kepala dan badan suspek dipercayai akibat pergaduhan itu ketika ditahan.
“Siasatan awal setakat ini menunjukkan bahawa suspek dan mangsa berdebat ketika kejadian berlaku sekitar jam 11.15 pagi.
“Difahamkan, mangsa kerap menasihati suspek agar bekerja dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan suspek telah tinggal bersama mangsa sejak dia masih kecil,” katanya.
Ketika kejadian, tiga lagi individu iaitu saudara terdekat dipercayai berada di rumah berkenaan namun tidak mampu berbuat apa-apa.
Mohd Fadhil berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tangkak untuk ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat dilakukan untuk menentukan punca kematian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis menunggu keputusan laporan bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan membawa suspek yang mempunyai enam kesalahan termasuk dadah, ke mahkamah pada hari Selasa (13 Julai) untuk direman.
Katanya, kes tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.