Timbalan Perdana Menteri beri jaminan akan tutup ‘pintu belakang’

0
428
Ketua Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyerahkan 10 tuntutan rakyat kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi

CYBERJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan untuk mengambil tindakan tegas bagi memastikan kilang-kilang yang menjadi penyumbang utama jangkitan virus Covid-19 tidak dibuka sewenang-wenangnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri di pejabatnya hari ini.

“Datuk Seri amat komited dan bersetuju untuk jadikan semua #TuntutanRakyat ini sebagai keutamaan beliau setelah dilantik sebagai TPM.

“Bukan itu sahaja Insya-Allah, dalam isu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) “Total Lockdown”, beliau juga akan pastikan tindakan tegas diambil untuk tiada lagi kompromi untuk membolehkan kilang-kilang penyumbang infeksi virus dibuka sewenangnya.

“Tiada lagi pintu belakang dibuka bahkan akan dikunci serapatnya,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebook miliknya sebentar tadi.

Menurut Asyraf, dalam pertemuan itu sebanyak 10 cadangan untuk menambah baik Bantuan Rakyat yang dirumuskan Pemuda UMNO disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri berjanji akan mempastikan suara rakyat diperjuangkan bersama-sama.

“Mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga saya mengucapkan tahniah kepada beliau atas lantikan tersebut.

“Beliau sempat beri jaminan, “Asyraf, don’t worry! Saya di sini kerana UMNO. Saya akan pastikan suara rakyat yang diperjuangkan oleh Pemuda akan saya sama-sama perjuangkan. Bantulah saya,” ujarnya.

Sementara itu, Asyraf turut berjanji bahawa Pemuda UMNO akan terus menjadi jurubicara rakyat dan suara semak dan imbang bagi memastikan kerajaan benar-benar mendengar dan menyantuni rakyat yang ketika ini dalam kesempitan dan kesusahan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here