
CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua pihak supaya bertenang ketika negara sedang berhadapan dengan situasi politik yang tidak menentu pada masa kini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih mendapat sokongan melebihi 110 ahli Parlimen yang masih bersama-sama dengan kerajaan pada hari ini.
“Saya berharap rakyat bertenang di dalam menghadapi situasi terkini dan sama-sama kita berdoa agar kemelut politik ini berakhir dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, beliau juga menjujung titah oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu kenyataan pada hari ini.
Beliau berkata, dalam situasi politik negara pada hari ini yang dalam keadaan tidak stabil ia boleh menjejaskan usaha menyelesaikan masalah ekonomi dan memerangi Covid-19.
Terdahulu, Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat pada 26 Julai lalu kerana ia belum diperkenankan baginda.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang dipersetujui terdahulu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.-MT